Thursday 17 May 2012

Selamat Hari Guru

Photobucket 







Doktor telah menyembuhkan beribu-ribu pesakit, polis telah menangkap beratus-ratus pencuri, bomba telah selamatkan pelbagai harta benda, saintis telah mencipta inovasi baru yang tidak terkira jumlahnya.

Tapi, bila diimbas kembali...

Sang 'guru'lah yang membangkitkan keinginan si comel untuk mengubat pesakit, yang menimbulkan minat si pembuli sampai ingin mengejar penjenayah, yang membuatkan si budak berhingus beria-ia ingin memegang pemadam api, yang menaikkan semangat si lembap untuk belajar sains dan matematik kerana ingin mencipta benda baru.

Lalu, bila kejayaan sudah dikecapi, pada siapa mereka mengucap terima kasih? Pada Allah semata-mata.

Sedangkan di satu sudut, sang 'guru' sedang tersenyum melihat anak didiknya yang pernah comel, yang pernah lincah, yang pernah berhingus, yang pernah lembap. Dari kejauhan, air mata diusap sambil mengenang kembali telatah sang muridnya yang beragam jenis.

Dalam hati dia berkata, "Alhamdulillah, besar sudah mereka semuanya."

Bertahun-tahun dia mengajar. Bertahun-tahun dia berasa suka, duka, ketawa, dan gembira dengan setiap hari yang dilalui bersama anak muridnya. Hanya kerana ingin melihat mereka berjaya.

Masih ingatkah sang murid kepada sang 'guru', dia tidak kisah itu semua. Masih kenalkah sang murid kepada yang memberi ilmu, dia tidak peduli. Kiranya, sudah lama ilmu itu dihalalkan. Yang dia kisah dan peduli, hanyalah kejayaan anak muridnya.

Lalu, bila kejayaan sudah dikecapi, pernahkah mereka mengucap terima kasih? Hanya hati mampu menjawab.

Kini, mereka berbangga dengan kerjaya mereka. Mereka berkata, "Aku doktor! Aku polis! Aku bomba! Aku saintis! Kami berjasa pada rakyat!" Tapi mereka tidak tahu, di sebalik kejayaan itu ada insan yang darjatnya telah diangkat melebihi para ibu bapa. Pahalanya melebihi orang berjihad. Budi baiknya tidak terbalas dek jutaan ringgit.

Jadi, bila ditanya berjasakah dia? Senyum menghiasi wajahnya. Kedut tua jelas tertera. Dengan hati yang senang dia menjawab, "Semua dariku datangnya dari Allah."

Ya, dialah yang bergelar sang 'guru'.

"Tanpamu guru, siapalah kami pada hari ini"

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Graduation tickers