Friday 21 October 2011

SA`AH


Alhamdulillah dan syukur kepada Allah swt kerana kita masih lagi bernyawa hari ini untuk menghadapi kehidupan yang sementara di dunia ini.

Demi masa! 
Sesungguhnya manusia dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan,
dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk bersabar.
(103:1-3)


Surah ini amat pendek tapi Imam As Shafee pernah menukilkan bahawa jika semua orang menghayati surah ini maka itu adalah cukup untuk seluruh manusia. Hebatnya surah yang pendek ini.

Surah ini adalah antara surah yang terawal yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. semasa di Mekah. Dalam surah al-fatihah, Allah mengajar kita untuk mencari jalan yang lurus (as-siratul al-mustaqim) dan dalan surah ini (al-Asr) intipati atau jalan yang lurus itu ditunjukkan kepada seluruh umat manusia. Allahu Akhbar.

Dalam surah ini kita umat manusia diajar supaya yakin akan kekuasaan Allah swt, lakukan perkara-perkara yang baik (amalan soleh), ajak manusia kearah kebaikan atau kebenaran, dan menyuruh seluruh umat manusia supaya bersabar. Sesiapa yang berjaya mengerjakan amal soleh adalah orang -orang yang berjaya dan kehidupan mereka penuh dengan keberkatan dan mendapat keredhaan Allah swt tetapi kepada sesiapa yang ingkar daripada jalan ini maka mereka itu adalah dalam kerugian yang amat besar.

Inilah guideline atau kayu pengukur untuk kita semua umat manusia untuk mejalani kehidupan di dunia yang sementara ini. Banyak buku-buku motivasi diluar sana yang bejilid-jilid tidak dapat menerangkan akan contoh kehidupan yang sempurna ini seperti yang dikatakan oleh Allah swt hanya dengan 3 ayat dalam surah al-asr ini. Inilah wadah sebenar manusia harus hidup di dunia ini dan untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat yakni taat segala perintah Allah swt, tinggalkan segala laranganNya, jalani kehidupan seperti yang di tunjukkan oleh Rasulullah s.a.w., manusia pasti akan menemui kejayaan dengan jalan yang lurus ini. Allahu Akhbar.

Dalam surah ini Allah menerangkan akan kepentingan masa sepertimana Allah swt berkata "Dan Dia (pula) yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur".(surah al-furqan:62)

Maka dengan ini kita kena memanfaat masa dengan sebaik-baiknya, gunakan masa kerana Allah swt, untuk mendekati kepadaNya dan untuk mendapat keredhaanNya. Terutama kita umat di akhir zaman ini, umur kita tidak panjang, purata 60 hingga 70 tahun sahaja, maka menjaga masa itu amat penting. Kiasan umur manusia adalah ibarat meletakkan jari ke dalam lautan. Bila diangkat jari tersebut ada titisan air dijari maka itulah kehidupan dunia kalau nak dibandingkan dengan seluruh lautan yang merupakan kehidupan akhirat.

Dalam ayat seterusnya Allah swt menyebut bahawa "Semuanya akan binasa kecuali mereka-mereka yang percaya dan melakukan amalan-amalan soleh". Disini Allah membuat pengecualian kepada mereka-mereka yang melakukan amalan soleh dan perkara-perkara yang baik akan berjaya.

Kemudian Allah sebut dalam ayat seterusnya supaya kita mengajak manusia kearah kebenaran, yakni kebenaran yang Hak (al-Haqq) yakni agama Islam, iaitu mengerjakan segala suruhan Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya.

Dan terakhir sekali Allah berkata mereka yang selamat daripada kemusnahan adalah mereka yang mengajak antara satu sama lain dengan penuh kesabaran sebagiamana seorang sahabat nabi, Abdullah bin Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang muslim yang lain, maka dia tidak patut menindas seorang muslim yang lain atau menyerahkan kepada orang yang zalim. Sesiapa yang menunaikan Hak saudara sesama Muslim mereka, Allah swt akan sempurnakan Hak mereka; Sesiapa yang menyenangkan saudara Muslim mereka, Allah swt akan mennyenangkan dia di hari Akhirat nanti dan sesiapa yang menyelamatkan saudara Muslim mereka, Allah swt akan mengangkat segala kesusahan dia di hari Akhirat nanti."

Rumusannya, dalam surah ini kita diajar akan empat kriteria yang mana jika seseorang boleh mencapai keempat-empat kriteria ini, seseorang itu akan dapat mencapai kesempurnaan (insan kamil) dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Yang pertama adalah: Mengetahui Kebenaran.

Yang kedua: Apa yang dilakukan, merupakan reflek kepada kebenaran tersebut.

Yang ketiga: Mengajar orang lain yang tidak mengetahui kebenaran.

Yang keempat: Bersabar untuk belajar berkenaan dengan kebenaran dan bertindak berdasarkannya dan mengajarkannya.

Allahu Akhbar.

Maka saya menyeru kepada semua sahata-shabat di Al-hikmah ini untuk kita sama-sama mencapai keempat-empat kriteria yang disebutkan di atas. Bersama-samalah kita berusaha untuk mencari kebenaran yakni apa yang ditinggalkan oleh Rasul junjungan kita Muhammad s.a.w., Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Marilah kita smua berazam untuk kuatkan Iman kita semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah swt. Tiada sebab lain lagi. Kenapa?

Kerana apabila Iman telah lemah, 'aqidah telah binasa maka Iblis menjadi penguasa! Dia mengerahkan seluruh tenteranya menguasai hati insan kita umat manusia untuk membuat kefasikan dan kekufuran!

Diantara seruan-seruannya ialah bersifat takabbur sombong, melakukan kezaliman, tamakkan pangkat harta, kedudukan. Orang-orang ini sanggup melakukan pembohongan, fitnah dan berbunuh-bunuhan demi untuk mencapai segala kenikmatan duniawi. Mereka tamak akan dunia dan takut akan mati.

Dahulu Bani Umayyah, diikuti Bani Abbassiah dan kini disambung oleh pembesar-pembesar (Jabbabiratun) di seluruh dunia Islam masa kini.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya,” Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Rasulullah s.a.w. menjawab,”Bahkan, pada hari itu jumlah kamu ramai, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut ‘rasa gentar’ terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahnu.”Seorang sahabat bertanya, ‘Apakah itu al-wahnu itu, ya Rasulullah?’ Rasulullah s.a.w. menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad)


Wallahua'lam.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Graduation tickers