Sebagai sambungan sesi lalu mengenai Dakwah fardiah, marhalah kelima yang seterusnya ialah:
MENGHAYATI HIDUP DAN MEMAHAMI PENGERTIAN UMMAH
Di tahap ini diperjelaskan kepada mad’u bahawa din Islam adalah din jama’i. Islam adalah sistem kehidupan, hukum, perundangan, kenegaraan, jihad dan kesatuan ummat. Pemahaman terhadap perkara ini akan mendorong beliau bersedia memikul segala kewajipan dan tanggungjawab semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala agar masyarakat berdiri di atas prinsip-prinsip Islam dalam segala aspek kehidupan. Maka:
1) Beliau dijelaskan bahawa tidak mencukupi dengan hanya menjadi muslim untuk diri sendiri sahaja.
2) Beliau perlu sedar bahawa Islam adalah merangkumi urusan-urusan jama’ah dan masyarakat. Islam merupakan sistem hidup yang lengkap dan sempurna serta penuh dengan ni’mat dan keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Bermaksud: Pada hari ini telah Ku sempurnakan untuk kamu dinmu, dan telah Ku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku ridha Islam itu menjadi din bagimu. (Surah Al-Maidah : 3)
3) Beliau mestilah dapat merasai kesempurnaan dan segala ni’mat Allah Subhanahuwata’ala ini. Rasa hatinya ditingkatkan dengan kefahaman, kesedaran dan keyakinan.
4) Di atas dasar rasa hati sebegini, maka dia mula faham bahawa dia hendaklah terlibat dengan berusaha, berjuang dan menyampaikan berita gembira dan peringatan-peringatan Allah Subhanahuwata’ala kepada manusia lain.
5) Dia merasai bahawa dia tidak boleh hidup sebagai seorang muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna jika dia mengasingkan dirinya dari saudara-saudara muslimnya yang lain dan tidak memperdulikan segala apa yang terjadi terhadap mereka - segala gangguan, fitnah dan serangan musuh terhadap mereka. Musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala datang dari berbagai sudut dan ceruk rantau bumi ini untuk menyerang umat Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah, jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim. (Surah al-Baqarah : 193)
Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:
من لم يهتم للمسلمين فليس منهم
Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin, maka dia bukanlah dari golongan mereka
6) Dia mula merasai bahawa kita adalah sahabat dia. Tugas dan tanggungjawab kita adalah tugas dan tanggungjawab dia.
7) Dia mula merasai tanggungjawab ‘am terhadap Islam dan kaum muslimin.
8) Dia mula beransur-ansur keluar daripada pengasingan sekularnya, memecahkan tempurungnya dan menghapuskan kongkongannya.
9) Seterusnya dia dapat hidup di dalam Islam secara jama’i.
10) Di tahap ini dia perlu diperjelaskan tentang tuntutan da’wah Islamiyyah pada masakini, iaitu:
a) Wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan daulah Islamiyyah.
b) Wajib mengetahui tipu helah musuh Islam yang sentiasa ingin menghancurkan umat Islam.
c) Wajib mengetahui tentang bencana yang menimpa umat Islam hari ini.
d) Wajib mengetahui tentang perpecahan di kalangan umat Islam.
e) Wajib sedar bahawa anak-anak orang Islam telah lama dibentuk mengikut cara yang bukan Islam yang bertujuan untuk mengukuhkan sistem hidup bukan Islam.
f) Wajib sedar bahawa musuh-musuh Islam telah lama merosakkan kehormatan orang Islam dan wanitanya.
g) Wajib sedar bahawa hanya Daulah Islamiyyah sahaja yang mampu menyerang balas sepenuhnya anasir-anasir jahat dan musuh-musuh Islam. Hanya daulah yang mampu menyatupadukan umat dan melaksanakan ajaran Islam yang lengkap. (Konsep Daulah Islamiyah ialah bercontohkan Daulah Islamiyah yang dibina oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam).
h) Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada umara’ (pemerintah) dan ulama’ sahaja, bahkan ia menjadi tanggungjawab bagi setiap lelaki dan wanita Islam di zaman kebangkitan da’wah ini.
i) Seluruh muslimin, di mana jua, akan menanggung dosa besar, sekiranya mereka tidak berusaha dan bekerja untuk membangunkan Daulah Islamiyah.
j) Semoga dia mula berfikir dengan bersungguh-sungguh dan mencari jalan untuk menunaikan amanah dan masuliyyah ini serta melaksanakan segala tuntutannya.
bersambung..
No comments:
Post a Comment