" Barangsiapa yang dua harinya sama, maka ia tergolong dalam kalangan orang yang rugi "
Al-hadith
Sebagai pembukan bicara, ingin memperkatakan tentang sifat yang perlu ada pada penyeru manusia kepada Allah SWT. Antara sifatnya ialah: sentiasa memperhatikan keaiban diri lebih daripada menilai orang lain.
Ke’aiban dalam jiwa sendiri sudah cukup menyibukkan untuk diperbaiki daripada melihat ke’aiban orang lain. Maksudnya, berikanlah keutamaan untuk memperbaiki diri. Dalam thora-iq tarbiyyah yang telah kita pelajari menjelaskan tentang perimustahaknya proses mu’alajah al-‘uyub.
Kata ‘ulamak Sari Sikti Al Baghdadi (seorang ahli sufi):
“Saya tidak nampak satu (yang ganas), yang merosakkan amal, dan hati pula lebih dekat kepada kemurkaan Allah, lebih dekat kepada riya’, ‘ujub serta riaasah (inginkan pengaruh/kuasa), selain daripada kurangnya mengenali ke’aiban diri dan mengintip ke’aiban orang lain.”
Kita perlu mengambil kebaikan-kebaikan yang ada pada orang lain. Bahkan kita perlu mewujudkan suasana lengkap melengkapi.
Sebagai sambungan sesi lalu mengenai Dakwah fardiah, marhalah yang seterusnya ialah:
MENGHAYATI HIDUP BERIBADAH YANG SYUMUL
Diperjelaskan kepada mad’u bahawa ibadah tidak terbatas kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Ibadah merangkumi seluruh aspek kehidupan seperti makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, riadah, pendidikan anak-anak dan sebagainya. Ibadah mestilah memenuhi dua syarat utama iaitu:
1) Niat yang benar.
2) Menepati kehendak syara’.
Di tahap ini kita lihat dia akan merasa terikat dalam seluruh kegiatan hidupnya, gerak-gerinya dan diamnya dengan syari’at Allah Subhanahuwata’ala. Dunia menjadi mihrab dan tempat ibadah yang besar. Di atas dunia kita melaksanakan amal dengan niat yang mulia dan cara yang betul. Langkah-langkah di marhalah ini ialah:
1) Mad’u perlu mendapat penjelasan tentang pengertian ibadah yang syumul (bukan juz-i) dengan cara:
a) Menjelaskan makna ibadah bersumberkan al-Quran dan al-hadith.
b) Menjelaskan pengertian-pengertian yang terdapat di dalam tafsiran-tafsiran ulama’ muktabar.
c) Menjelaskan fungsi ibadah dalam kehidupan dengan mempraktikkan Islam sepenuhnya.
2) Memperbetulkan ibadah dengan mengawasi:
a) Niat yang semata-mata kerana Allah Subhanahuwata’ala.
b) Cara melaksanakannya yang sesuai dengan syari’at Islam.
3) Mad’u difaham dan disedarkan bahawa selagimana niat ditentukan kerana Allah Subhanahuwata’ala, maka setiap amalan akan dikira sebagai ibadah, selagimana amalan itu tidak haram menurut Islam.
4) Amalan-amalan kita adalah sebagai alat untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala yang menjadikan kita khalifah di muka bumi ini.
5) Ma’du dibawa untuk berfikir tentang kesan niat yang betul terhadap amalan-amalan harian, seperti:
a) Makan minum adalah bertujuan untuk mendapat tenaga agar dapat menta’ati Allah Subhanahuwata’ala atau beribadah kepadaNya. Dengan ini seseorang itu akan mendapat pahala di sisi Allah Subhanahuwata’ala.
b) Mencari rezeki dengan niat yang betul akan menjadi ibadah kepada Allah Subhanahuwata’ala.
c) Kita akan mendapat pahala dari segala usaha dan harta yang digunakan untuk membangunkan Islam.
d) Kita akan mendapat pahala dari masa yang diberikan untuk kemajuan Islam.
e) Kita akan mendapat pahala jika berkorban untuk mencapai kemahiran ilmu iktisas demi untuk kepentingan Islam dan umat Islam.
f) Seterusnya dalam semua aktiviti hidup diniatkan untuk Islam dan demi mencari keredhaan Allah Subhanahuwata’ala, seperti:
i) Mencari rezeki agar boleh mengeluarkan zakat, sadaqah dan hadiah.
ii) Berkahwin untuk mendirikan rumahtangga muslim. Rumahtangga muslim adalah tiang yang kuat untuk membangunkan Daulah Islamiyah.
iii) Bersenam, riadah dan memelihara kesihatan agar mampu dan kuat memikul tugas Islam dan tanggungjawabnya menggerakkan da’wah Islam.
g) Membawa mad’u berfikir bahawa semua kerja hendaklah sesuai dengan syari’at Allah Subhanahuwata’ala . Adalah tidak menasabah bagi seseorang yang makan dan mendapat rezeki dengan cara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, bertujuan untuk menguatkan taqwa dan mentaati Allah Subhanahuwata’ala.
bersambung...
No comments:
Post a Comment