Friday, 7 October 2011

Zinnirah

Photobucket


Pengorbanan Zinnirah

Kita sering kali mendengar lagu UNIC bertajuk Zinnirah tu, tapi kenalkah kita siapa dia Zinnirah ?? Kenapa dia begitu hebat sekali di dalam sejarah ...

Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan akidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan akidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah adalah harta yang tiada ternilai bagi setiap individu muslim. Ia merupakan cahaya yang menyinari hidup insan dan menjadi penyelamat dalam mengharungi kesengsaraan kacau-bilau hari pembalasan kelak.

Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam mempertahankan akidah mereka yang telah terpahat kukuh dalam hati sanubari mereka.Keimanan yang jitu dan kesanggupan mereka mengharungi keperitan hidup telah membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam. Hingga ke hari ini Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan akidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Dia dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Dia menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda berdakwah secara sembunyi-sembunyi. Dalam lipatan sejarah Islam, golongan yang pertama inilah yang banyak menerima ujian dan dugaan.

Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Dia telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya, dia telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan sebagai hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan lemah tetapi dari segi spiritualnya dia mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Pada peringkat awal keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan Islam secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui oleh tuannya, Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sifatnya yang tegas dan berani. Umar sebelum memeluk Islam amat memusuhi Rasulullah dan kaum muslimin. Zinnirah bersolat, berzikir, membaca Al-Quran dan berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semua ini dilakukan dengan penuh hati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah bermula setelah Umar mengetahui keislamannya. Umar dapat menghidu perubahan yang telah berlaku ke atas hambanya itu. Setelah diselidiki, ternyatalah bahawa hambanya itu telah menerima ajaran tauhid yang dibawa oleh Muhammad S.A.W. Zinnirah menjadi mangsa awal kerana kebencian Umar terhadap Islam dan kaum muslimin. Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadapnya. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik menjadi rutin biasa dalam kehidupan Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan penuh kesabaran disamping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila kedua matanya dicucuk dengan besi panas yang mengakibatkannya hilang penglihatannya dan terpaksa mengharungi kehidupan dalam kegelapan. Namun begitu, hatinya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam menghadapi kesengsaraan azab dari tuannya.

    “Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurgaMu, aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan.”
Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah ketika bermunajat kepadaNya di setiap malam sebagai penawar jiwa diatas segala kesengsaraan yang dihadapi.

Zinnirah akhirnya dibeli oleh Abu Bakar As-Siddiq. Walaupun menerima pelbagai rupa seksaan daripada Umar, Zinnirah tidak mendendami tuannya itu. Malah dia berdoa kepada Allah memohon diberikan hidayah kepada Umar. Penderitaan Zinnirah tidak berakhir di sini, malah dia dicerca oleh kaum musyrikin Mekah. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana mendapat laknat daripada tuhan Latta dan Uzza. Namun begitu, Zinnirah dengan penuh keberanian mempertahankan dirinya dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, tetapi ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkannya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai ujian, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali. Malah sinaran matanya itu lebih bercahaya.

Zinnirah, seorang wanita biasa, yang mungkin tidak dikenali, yang tidak punya harta atau ijazah tetapi mendapat pujian daripada Allah. Para malaikat mendoakan kesejahteraannya. Mata kasarnya buta tapi mata hatinya celik, disinari dengan cahaya keimanan serta keyakinan kepada Allah.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Graduation tickers